LOADING

Type to search

Berita BP

10 INAPAN UNIK – ANTARA YANG PALING COOL DI DUNIA

backpackerz April 8, 2018
Share

Sebahagian daripada hotel-hotel yang kami paparkan ini mungkin tidak menawarkan keselesaan 5-bintang. Namun,  ia adalah antara hotel yang paling hebat dan luar biasa di dunia! Jom kita terbang ke serata benua untuk meninjau 10 hotel paling unik. Kami percaya, mungkin salah satunya pasti menepati kegemaran, cita rasa dan gaya pengembaraan anda.

1} Buat Urban Freak: Grand Daddy Hotel

Lokasi: Cape Town, Afrika Selatan.     Harga Inapan: $150 – $265 /satu malam.

Treler di atas bumbung bangunan, bahkan dalam suasana taman pastinya menjadi sesuatu yang unik. Itulah keistimewaan Grand Daddy Hotel yang terletak di jalan Long Street. Jika alam semula jadi bukanlah pilihan utama anda, namun pada masa sama masih dambakan suasana camping, maka inilah destinasi yang paling sempurna.

2} Buat Pecinta Alam: Kolarbyn Eco Lodge

Lokasi: Skinnskatteberg, Sweden.       Harga Inapan: $60 seorang/satu malam.

Kembali kepada fitrah alam semulajadi. ‘Hotel Paling Primitif Sweden’ menawarkan pengalaman perkhemahan sebenar. Di sini, tetamu bakal menginap di pondok hutan bersama dua katil keras beralaskan permaidani kulit biri-biri, pendiangan pembakar dan perabot asas. Ringkas dan selesa, apa yang pasti, tiada kemudahan WiFi disediakan.

3} Buat Peminat Kasut: The Boot Hotel

Lokasi: Tasman, New Zealand.            Harga Inapan: NZ$300 per pasangan/satu malam.

Jika anda sedang bercita-cita untuk melarikan diri daripada realiti kehidupan, maka inilah tempat yang paling sesuai. Terletak di antara Nelson dan Abel Tasman National Park, The Boot Bed & Breakfast bagaikan sebuah rumah dalam kisah dongeng kanak-kanak. Tambahan pula, suasana hotel ini turut dikelilingi suasana hutan yang mengkagumkan.

4} Buat Penggemar Haiwan: Panda Inn

Lokasi: Sichuan, China.         Harga Inapan: US$48 – $80/satu malam.

Hotel ini terletak di kaki Gunung Emei, sebuah Tapak Warisan Dunia UNESCO di mana kuil Buddha pertama China yang dibina pada abad pertama. 32 bilik hotel dihiasi seni, perabot  dan patung panda yang comel. Malah, kakitangan hotel turut berpakaian seperti panda. Pastinya, ia bakal menarik perhatian penggemar panda dari seluruh dunia.

5} Buat Pasangan Romantik: Treehouse Point

Lokasi: Issaquah, Washington.            Harga Inapan: $120 – $215/satu malam.

Tidakkah berbulan madu di atas pokok kedengaran amat romantis buat anda? Jika ya, maka Treehouse Point yang terletak di Washington adalah gerbang berbulan madu yang ideal.  Dilengkapi dengan lima kategori rumah pokok yang selesa dengan segala kemudahan, ia adalah persembunyian yang paling unik buat anda dan pasangan.

6} Buat Sang Superman: Free Spirit Spheres

Lokasi: Qualicum Bay, British Columbia.            Harga Inapan: $150 – $265/satu malam.

Sekali pandang, inapan ini bagaikan mesin angkasa yang menghantar Superman dan karakter Son Goku dalam cerita animasi Dragon Ball ke Bumi. Penginapan yang berbentuk sfera ini digantung dan dibiarkan bergoyang di atas pohon hutan hujan BC. Tentu ideal buat mereka yang mencari keunikan lain dari yang lain sewaktu berbulan madu.

7} Buat Pemuja Fantasi: Thorngrove Manor Hotel

Lokasi: Adelaide Hills, Australia.         Harga Inapan: $820.00 – $1050.00 /satu malam.

Melihat kepada rekaannya yang unik, kreatif dan mengkagumkan, hotel ini bagaikan dibina dengan menggunakan kuasa magis. Sekali imbas, ia seakan-akan rumah di dalam kartun-kartun terbitan Disney. Kemewahan dan gaya ekslusif yang dipersembahkan oleh boutique hotel ini telah menarik perhatian pelancong dari serata dunia.

8} Buat Pemain Salji: Whitepod

Lokasi: Les Cerniers, Switzerland.       Harga Inapan: : ₹21,941 – ₹34,071/satu malam.

Whitepod adalah konsep hotel unik yang menggabungkan eko pelancongan dan inapan mewah di bawah satu bumbung. Ia menawarkan cara yang berbeza untuk menerokai pergunungan Swiss Alps bagi pengembara mahupun pasangan romantik. Setiap inapan mempunyai ruang teres peribadi berlatarkan pemandangan indah Tasik Geneva.

9} Buat Jemari Seni: Museumotel

Lokasi: Raon-l’Étape, Perancis.            Harga Inapan: 71,00 – 169,00 Euros/satu malam.

Bosan terhadap persembahan hotel yang hampir sama di mana-mana? Maka Museumotel pasti menjadi destinasi percutian sempurna. Setiap ‘ bubles’ yang boleh memuatkan sehingga lima orang ini mempunyai tema-tema yang berbeza. Antaranya, pusaran neon berwarna dan corak seni pop yang diinspirasikan daripada filem Austin Power.

10} Buat Pereka Artistik: Tree Hotel

Lokasi: Harads, Sweden.      Harga Inapan: $669 – $700 per pasangan/satu malam.

Apa yang membuatkan inapan ini sedikit unik berbanding dengan hotel atas pokok yang lain adalah rekaan penyamaran 360 darjah Mirrorcube yang diperbuat menggunakan playwood, aluminium ringan dan kepingan kaca. Mirrorcube boleh memuatkan dua orang serta dilengkapi satu katil besar, dapur kecil, bilik mandi serta ruang tamu.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll Up