LOADING

Type to search

Insider BP

MALUKU – Keseronokan Dan Keterujaan Bila Dapat Jejakkan Kaki Kesini!

backpackerz April 24, 2018
Share

Akhirnya… Buat pertama kali aku menjejakkan kaki di Indonesia. Bak kata wakil dari Kementerian Pariwisata Indonesia yang menganjurkan perjalanan program Tour De Moluccas, “pertama kali ke Indonesia, langsung aja ke tempat yang jauh.”

Luar biasa perasaan ini! Perjalanan bermula dari Kuala Lumpur ke Jakarta. Sehari di Jakarta sudah membuatkan aku teruja, walaupun Jakarta terkenal dengan ‘banyak kereta’ dan sesak – tetap terasa keseronokannya!

MALUKU…Yang Luar Biasa

MALUKU1

Ambon Manise

Jakarta menjadi saksi sebelum ke destinasi yang merakam begitu banyak kenangan manis! Perjalanan dari Jakarta menaiki Garuda yang gagah membelah awan, mengambil masa kira-kira dua jam untuk sampai ke Lapangan Terbang Antarabangsa Patimura.

Ambon Manise. Semuanya di sini manis-manis belaka kalau korang nak tahu, daripada pemandangan, makanan, dan penduduk tempatan, semuanya terbaik! Di Ambon korang boleh nampak banyak kapal-kapal pedagang yang datang. Tapi, kalau kapal yang datang bedagang secara haram, korang boleh tengok kapal tu tunggu masa untuk tenggelam di bahagian tertentu, seperti di kawasan jambatan Merah Putih.

Ambon terkenal dengan tinggalan sejarah penjajahan Portugis satu masa dahulu dan merupakan salah satu kota terbesar di wilayah kepulauan Maluku.

Rujak Natsepa

Selain tinggalan sejarah yang ada di Ambon, terdapat satu kawasan wajib yang harus anda tuju iaitu Natsepa Beach. Natsepa Beach merupakan pantai peranginan yang terkenal di Ambon, bukan sahaja dalam kalangan pelancong, tetapi juga menjadi tumpuan penduduk tempatan. Selain daripada kebiruan airnya, pantai Natsepa juga terkenal dengan keputihan pasir pantainya.

Selain pantainya, lokasi ini juga terkenal dengan rojak. Rojak buah yang dihidangkan bersama dengan kuahnya yang ‘lenyek’ bersama dengan kacang secara ‘live’ di lokasi kejadian, memang betul-betul terangkat! Rujak Natsepa Mama Mery Pitries… Ah! Masih terasa keenakan kuah rojak Mama Mery yang sangat menyengat, padu beb! Untuk korang yang tak tahan pedas boleh request rojak dengan kuahnya yang tidak pedas. Tapi, untuk korang yang memang kaki makan pedas boleh request rojak buah pedas. Sekali ngap! Terangkat! Kalau ke sini, korang berniat nak kongsi satu mangkuk rojak ramai-ramai, baik lupakan. Pasti mahu lebih dari semangkuk. Terasa seperti mahu bungkus ikat tepi!

MALUKU2

Ora Beach, Hatupia & Air Belanda

Perjalanan dari Ambon menaiki feri menuju ke pelabuhan Waipairit, Piru mengambil masa kira-kira dua jam. Tambang menaiki feri untuk kelas ekonomi berharga Rp.80,000 dan untuk kelas pertama berharga Rp.250,000. Untuk kelas pertama, anda akan duduk di sofa empuk dengan bilik berhawa dingin, tandas persendirian dan televisyen bersama seleksi filem-filem tempatan. Untuk kelas ekonomi pula, keadaannya seperti menaiki feri Pulau Pinang.
Bagi mengelakkan kebosanan sepanjang perjalanan, korang boleh berkaraoke atas feri ni. Nak ‘pekena’ Indomie atas feri sambil menikmati angin laut pun boleh. “Pokoknya, loe nggak akan bosan, apatah lagi lapar…”

Setibanya di pelabuhan Waipairit,Piru, anda perlu menaiki kereta sewa atau pengangkutan awam yang ada menuju ke Desa Saleman yang terletak di utara Maluku. Perjalanan menuju ke Desa Saleman menaiki kereta jenis Toyota Avanza bersama dengan pemandu bernama Patrick mengambil masa sekitar tiga jam.

Desa Saleman terkenal dengan satu mitos Orang Batik dan burung Rusiala. Khabarnya, orang Batik ini adalah orang yang wujud tetapi lari dari dunia nyata dan ingin hidup sendirian. Jangan bimbang. Orang Batik pun manusia. Mereka bukannya hantu. Sesiapa yang berkesempatan ke sini jika diberi peluang boleh bertemu mereka.

Masa untuk snorkeling! Kami dibawa ke Tebing Batu, Hatupia. Lokasinya dekat sahaja dari Ora Beach Resort ke kawasan Hatupia. Air di sini memang jernih! Nampak pasir di bawahnya. Airnya nampak sahaja cetek tetapi sebenarnya agak dalam. Terdapat sebuah gua di kawasan ini boleh dijelajahi sambil merakam swafoto. Cantik! Bawalah kamera yang kalis air. Mesti ‘makan hati’ siapa yang tengok gambar yang anda rakamkan di sini.

Selesai mandi air masin, kami dibawa ke Air Belanda. Kenapa nama tempat ni Air Belanda? Kawasan ni dinamakan sebegitu kerana orang Belanda yang menjumpai kawasan ini. Istimewanya Air Belanda adalah, kawasan ini merupakan kawasan air tawar. Selepas snorkeling, sejuk dan puas dapat bilas badan di sini. Perjalanan dari Hatupia ke Air Belanda tidak sampai 10 minit. Dekat kan? Tak perlu ambil masa berjam-jam untuk sampai ke satu kawasan yang cantik.

MALUKU5

Pulau Kei Kecil

Kepulauan Kei merupakan gugusan pulau yang terletak di Maluku Tenggara, dan Langgur merupakan ibu negeri bagi Pulau Kei. Kami dibawa ke bahagian Pulau Kei Kecil yang merupakan kawasan ‘dataran rendah’ (pantai), berbanding Pulau Kei Besar yang lebih terkenal dengan kawasan pergunungan.

Keindahan Pulau Bair yang terletak di kawasan Tual, tidak dapat dipertikaikan. Terpukau dengan kejernihan dan kebiruan air laut di kawasan pulau Bair, sehingga tiada kata yang mampu mengambarkan keindahannya. Selain snorkling, anda boleh lakukan aktiviti memanjat batu. Di samping itu, boleh juga ke bahagian tepi terbing batu pulau ini untuk menikmati pemandangan yang cantik.

Untuk sampai ke pulau Bair, anda perlu menaiki bot laju yang boleh disewa dengan harga Rp.1juta hingga Rp.2.5juta. Satu bot boleh memuatkan 10 hingga 20 orang. Daripada jeti Watdek, mengambil masa kira-kira satu jam untuk sampai ke pulau Bair. Lunch box turut disediakan di sepanjang perjalanan.

Selepas berseronok di Pulau Bair, kami meneruskan perjalanan ke kawasan Goa Hawang. Ini tempat kegemaran aku! Air gua yang kebiruan dan jernih! Ah! Masih terasa kesejukan air yang ada di dalam gua ni. Perjalanan daripada jeti Watdek ke Goa Hawang mengambil masa kira-kira 15 hingga 20 minit sahaja.

Kalau nak tahu, Hawang bermaksud hantu. Difahamkan, gua ini mempunyai mitosnya tersendiri. Pada satu ketika dahulu, ada seorang pengembara bersama anjing peliharaannya disumpah menjadi batu kerana kata-kata yang dikeluarkannya. Jika dilihat dengan betul ada dua batu yang terdapat dalam gua ini membentuk dua objek itu. Selepas menikmati kesejukan air gua dan keindahan kebiruan serta kejernihan air di sini, kami di bawa menuju ke satu pantai yang popular di Pulau Kei Kecil ini.

Pantai Pasir Panjang – nama seakan sama dengan yang ada di Malaysia. Untuk memasuki kawasan pantai ini dikenakan bayaran. Satu kereta dikenakan caj Rp.20 ribu. Pantai ini terkenal dengan long white sand beach dan merupakan pantai terbaik yang ada di Pulau Kei. Daripada lapangan terbang Langgur, hanya mengambil masa 12 minit sahaja untuk sampai ke sini.

Pantai ini terkenal di kalangan ‘pemburu’ matahari terbenam dan terbit. Sambil-sambil menanti matahari terbenam kami pekena dulu Mee Goreng Sedap bersama goreng pisang cicah sambal. Fuh! Lain macam rasa Mee Goreng Sedap dan goreng pisang made in Indonesia ini. Aduhh…belum pun beberapa hari pulang ke tanah air aku sudah merindui Maluku!

MALUKU3
Scroll Up
error: Content is protected !!