fbpx

Type to search

Antarabangsa Insider BP Itinerari BP Travel

5 Tarikan Menarik untuk ‘Liburan’ Bersama Teman-Teman di Solo, Indonesia

Share

Menikmati keindahan Surakarta atau lebih dikenali sebagai Solo, sambil mendengar irama lagu popular Bengawan Solo, fuh, memang feeling habis. Aku dapat rasakan ‘vibe’ disini sangat berbeza, tiupan bayu di kota-kota besar juga nyaman dan kurang macet.

Walaupun Solo lebih kecil jika dibandingkan dengan Surabaya dan Jakarta, Solo merupakan kota ketiga terbesar di pulau Jawa bahagian Selatan, selepas Bandung dan Malang. Surakarta juga tempat kelahiran presiden ke-7 (terkini) Indonesia iaitu Joko Widodo, juga dikenali sebagai Jokowi.

Sejarah Surakarta sering menjadi tumpuan para pelancong asing
Solo Menari antara tarikan unik di sini. Diraikan pada 29 April setiap tahun (Kredit - The Jakarta Post)

AKU & SOLO TELAH BERTEMU

‘Emang bener’, Indonesia sebuah negara yang besar dan menawarkan kepelbagaian nilai budaya. Bagi aku, Solo memang terkenal dengan bandar pelancongan yang utuh mengekalkan tradisi diraja serta tarikan sejarah. Keadaan trafik yang masih terkawal di pekan menjadikan pengembaraan aku ke sini berjalan lancar. Alhamdulillah. 

Pengangkutan awam masih kurang tetapi akan ditambah baik. Pada aku, lebih seronok mengembara secara street-walking, tak pun naik Gojek atau Grab, sebab bandar Solo bukan besar sangat. Sepanjang penjelajahan aku ke Indonesia, tak pernah lagi aku cuba minuman jamu tradisi mereka. Buat sesiapa yang gemar minuman kesihatan dengan rasa yang unik, korang boleh cuba “Jamu Kencur”. Jamu ini boleh diminum sama ada sejuk atau panas. Secara peribadi, aku tak boleh ‘masuk’ dengan rasa jamu ini!

Meh try secawan Jamu Kencur

1- SEPUR KLUTHUK JALADARA (SKJ)

Setibanya aku di tengah kota Solo ini, aku melihat landasan panjang seperti rel trem. Sangkaan aku mengenai tram ini ternyata salah apabila aku berkesempatan untuk merasai pengalaman menaiki steam locomotive vintage ride! Kereta api yang dikenali sebagai “Sepur Kluthuk Jaladara” ini merentasi kota Surakarta dengan hanya menggunakan bahan bakar daripada kayu jati untuk berfungsi. Bukan kuasa elektrik, hanya kayu api sahaja!

Sepur Kluthuk Jaladara mempunyai dua gerabak yang boleh memuatkan sehingga 72 orang. Caj sebanyak Rp3,250,000 akan dikenakan untuk sewaan sebuah gerabak Sepur Kluthuk Jaladara. Tapi kalau seorang, bayaran dari Rp.150,000 hingga Rp.360,000 akan dikenakan untuk naik pengangkutan yang agak unik ini. 

Sepur Kluthuk Jaladara akan berhenti di beberapa lokasi menarik yang korang boleh pergi. Antaranya Laweyan Village, Loji Gandrung, Gladag, Pasar Pon dan banyak lagi! Bagi sesiapa yang nak naik gerabak SKJ ini, korang perlu tempah dulu bukan sewenangnya boleh naik ye! Booking di sini;

  • Surakarta Transportation Office
    No. telefon: +622717096111

    Alamat: Jalan. Menteri Supeno No.7 
  • Tourism Information Center
    No. telefon : +62271711435

    Alamat: Jalan. Slamet RIyadi 275 Surakarta
Sepur Kluthuk Jaladara
Merenung ke luar jendela Sepur Kluthuk Jaladara

*PERKENA LEMPENG ‘LEJEN’ NOTOSUMAN
Paling best, sepanjang perjalanan korang akan dihiburkan dengan muzik tradisional beserta nyanyian busking! Memang happening. Selain tu korang akan dihidangkan dengan beberapa jenis minuman kesihatan, atau lebih tepat, jamu secara percuma.

Jika korang mengunjungi Solo, tak lengkap rasanya jika belum merasai ‘oleh-oleh’ legenda asal Solo ini. Aku dapat makan “Serabi Notosuman” dekat sini. Boleh tahan sedap. Lempeng Notosuman telah wujud sejak tahun 1920-an.

Lempeng Notosuman ini berbeza dengan lempeng dari kawasan lain. Ia digulung dan kemudian dibalut menggunakan daun pisang, tidak berkuah dan boleh dimakan dengan serta-merta. Rasa lembut, kenyal dan santan sangat kuat di mulut. Aku jamin mesti ada yang ketagih lepas cuba satu.

Enjoy alunan muzik tradisional di sepanjang perjalanan
Lempeng versi Surakarta
Serabi Notosuman Coklat guys!

2 – CANDI SUKUH 

Candi Sukuh merupakan candi yang terletak di kaki gunung Lawu. Udara di sini nyaman dan sejuk. Terasa seperti di Bukit Fraser pula.  Sekali pandang bentuk candi ini seakan-akan bentuk kubah piramid di Mesir.

Candi ini dibina pada tahun 1437, semasa kejatuhan pemerintahan Majapahit. Ia terletak 35 kilometer arah timur laut dari kota Solo. Uniknya candi ini adalah daripada cerita mitosnya. Beberapa jenis ukiran batu yang terdapat di sini menunjukkan alat kemaluan lelaki dan wanita, serta beberapa batu berbentuk kura-kura yang dikatakan mempunyai kuasa magis. Penduduk tempatan percaya bahawa candi ini beri tuah kepada pasangan yang ingin mendirikan rumahtangga.

Itu kepercayaan mereka. Untuk pasangan yang ingin mendirikan rumahtangga, mereka akan dibawa ke sini untuk menguji tahap keperawanan masing-masing. Satu ritual akan diadakan buat mereka di beberapa candi. Kalau gadis-gadis yang datang di sini, dipercayai jika duduk di atas batu yang berbentuk kura-kura, kelak mereka akan dikurniakan kesuburan bagi memperoleh zuriat yang ramai.

Wakil Tourism Surakarta menerangkan tentang candi sukuh
Candi Sukuh adalah sebuah kompleks candi Hindu

3 – KERATON KASUNANAN SURAKARTA

Keraton Kasunanan Surakarta yang tersergam indah berwarna biru menjadi mercu tanda wajib singgah kalau korang melawati Solo. Ia dibina pada tahun 1745 oleh Paku Buwana ll ketika perpindahan kerajaan dari Kartasura ke Desa Sala. Keraton ini dibina secara berperingkat, dan siap sepenuhnya semasa pemerintahan Paku Buwana X pada tahun 1893 hingga 1939.

Selain bergambar di keraton ini, korang boleh ke bahagian tepi keraton untuk meninjau kawasan sekitar muzium yang menyimpan pelbagai barangan antik, kereta kencana serta barang-barang pusaka milik kerajaan terdahulu.

Sementara itu, di luar pintu masuk muzium ada macam-macam jenis jualan, dan paling best, korang boleh cuba jamu gendong dan bakso goreng. Jamu tradisi dan Indonesia sukar dipisahkan pak! Jamu gendong yang dijual di hadapan pintu masuk keraton ini sedap! Korang try kunyit asem dia… sangat best! Bakso goreng dia pun memang menyelerakan tapi pedas sikit. Pokoknya, soal makanan di Solo jangan risau, semua sedap kalau kena dengan selera korang. Waktu operasi : Isnin hingga Sabtu jam 9.00 pagi – 2 petang. Jumaat tutup. 

Keraton Surakarta Hadiningrat adalah istana rasmi Kasunanan Surakarta
Prominent palace from 1744 with tours & a museum featuring sculptures, weapons & other artifacts (Credit - The Jakarta Post)

4 – PASAR GEDE

Seterusnya aku menuju ke tempat  membeli makanan, buah-buahan, perkakas dapur dan kain batik iaitu Pasar Gede Harjonagoro. Time to shopping! Banyak cara korang boleh ke sini sama ada naik beca, memandu atau G0-Jek. Pasar Gede merupakan pasar tradisional terbesar dan tertua di Kota Solo.

Paling seronok, di hadapan pintu masuk pasar harian ini ada menjual aiskrim potong home made. Perisa durian paling kaw! Sekali cuba korang mesti nak lagi. Pasar Gede diasaskan pada 1923 oleh Pakubuwono X. Seorang arkitek Belanda, Ir. Thomas Karsten, memainkan peranan penting dalam reka bentuk bangunan bersejarah. Tidak hairanlah, walaupun pasar ini hanya setingkat, tetapi ruangnya cukup besar dan mampu menempatkan lebih daripada 100 peniaga.

  • Info: Sekiranya datang dari Jogjakarta, korang boleh menggunakan kereta Prambanan Ekspres (Prameks) dan turun di Stesen Purwosari. Dari stesen itu, tersedia Bus Batik Trans Solo yang menghala ke Pasar Gede Solo.
  • Alamat: : Jl. Urip Sumoharjo, Jebres, Sudiroprajan, Jebres, Surakarta
Nak cari manisan atau buah-buah boleh datang ke Pasar Gede
Pasar Gede adalah pasar harian masyarakat setempat

5 – BATIK GO TIK SWAN

Sesiapa yang tidak tahu, selain daripada Jogjakarta, Solo juga terkenal dengan seni tekstil batik. Batik Go Tik Swan merupakan tempat membuat batik lukisan tangan terkemuka di Indonesia. Difahamkan kehalusan lukisannya tidak dapat ditandingi sesiapa pun. Batik Go Tik Swan diambil bersempena nama pemilik asalnya, iaitu Go Tik Swan Panembahan Hardjonagoro, terkenal dengan pembuatan koleksi Batik Indonesia sejak tahun 1950-an.

Disebabkan pencipta batik ini tidak mempunyai waris untuk mewarisi apa yang dimilikinya, Go Tik Swan Panembahan Hardjonagoro telah mengambil keputusan dengan memberikan Go Tik Swan kepada sepasang suami isteri yang pernah menjadi pembantunya selama 40 tahun. Beberapa jenis motif yang dihasilkan khas dari sini ialah sawunggaling, rengga puspita dan kembang bangah. Setiap motif menyampaikan mesej tersendiri melalui corak dan warna yang dihasilkan.

Kini Batik Go Tik Swan telah diwarisi oleh Haji Hardjosoewarno dan pasangan Hajah Supiyah Anggriyani untuk meneruskan pembuatan Batik Indonesia. Selain daripada membuat batik, Go Tik Swan juga popular dengan pembuatan keris. Jadi, untuk korang yang minat dengan seni batik Indonesia dan keris, boleh datang ke sini dan melihat sendiri proses pembuatannya. 

  • Info : Jl. Kratonan 101 / Jl. Yos Sudarso 176 Solo 57152.
  • No. telefon : +620271643289 / +62081329062251
Batik Indonesia gabungan perpaduan motif & teknik pewarnaan gaya klasik & gaya pesisir. (Kredit - Sanie B. Kuncoro)
Jangan lepaskan peluang melihat karya-karya batik yang dihasilkan di sini kerana Solo juga terkenal sebagai syurga batik
Tags:

You Might also Like

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Scroll Up
error: Content is protected !!