fbpx

Type to search

Insider BP Uncategorized

9 Lokasi ‘Instagrammable’ di Jogjakarta – Beserta Harga Tiket Masuk & Pakej

Share

Teruja saat menerima jemputan lawatan media ke Yogyakarta. Acara lawatan yang dipanggil Media Digital FAM Trip for Southeast Asia itu dianjurkan oleh Kementerian Pariwisata Republik Indonesia (KEMENPAR).

Yogyakarta atau lebih popular dengan nama Jogja, merupakan daerah yang mengamalkan sistem pemerintahan Kesultanan. Jadi, kalau ke Jogja, korang tidak akan jumpa bendera-bendera atau apa-apa aktiviti berkempen untuk memilih pemerintah. Selain kaya dengan warisan sejarah, tradisi dan kebudayaan, Jojga juga memiliki banyak destinasi pelancongan menarik yang boleh dikunjungi.

Buat para jurugambar atau ‘Instagrammer’, Jogja adalah syurga fotografi yang wajib dikunjungi. Penulis sempat melawat beberapa lokasi unik yang ada di sini dan berikut merupakan antara spots yang penulis rasakan sangat sesuai buat pencinta fotografi dan Instagrammer.

  1. ISTANA SULTAN 

Istana Sultan adalah lokasi pertama yang perlu korang kunjungi di Jogja.  Terdapat pelbagai acara berkaitan kebudayaan Jawa dijalankan, selain daripada barang-barang tinggalan pemerintah terdahulu yang ditempatkan dengan rapi di beberapa kawasan istana bagi tujuan pameran. Meskipun masih menjadi kediaman rasmi Sultan, pelancong dibenarkan untuk masuk ke dalam istana ini.

Secara jujurnya, kawasan istana ini membangkitkan satu rasa luar biasa, di mana penulis seperti dapat membayangkan bagaimana Sultan menjalani kehidupan sehariannya.  Seni bina di luar dan di dalam istana begitu memukau – banyak sudut ‘ootd’ sesuai dirakam untuk tatapan para pengikut Instagram korang. Tip: Pengunjung tidak dibenarkan memakai topi atau cermin mata hitam di dalam kawasan istana kerana ia dianggap sebagai tidak menghormati adab dan budaya setempat.
Tiket: 100,000 IDR (RM28.60)

  1. GEREJA AYAM

“Atau aku harus lari ke hutan lalu belok ke pantai?” Ha! Pastinya pengikut setia Cinta dan Rangga tahu bait ayat dalam puisi filem romantis Ada Apa Dengan Cinta ini kan? Penulis berkesempatan melawat salah satu lokasi penggambaran filem ini! Uniknya, Gereja Ayam ini merupakan tempat beribadah yang dibina untuk semua agama pada satu masa dahulu, termasuk agama Islam! Kini gereja ini dibuka sebagai salah satu produk pelancongan tempatan.

Spot paling cantik untuk korang bergambar adalah di atas ‘mahkota’ ayam di sebelah atas gereja itu. Kalau cuaca baik, korang boleh nampak candi Borobudur dari sini.
Tiket : 30,000 IDR, percuma singkong goreng (RM8.60)

  1. MERAPI LAVA TOUR

Jangan lepaskan peluang untuk merasai pengalaman menaiki jip seperti dalam permainan PUBG sepanjang pengembaraan di Merapi ini! Perjalanan kami ke Merapi disambut dengan cuaca mendung dan sejuk. Untuk ke sini, korang wajib bawa topeng muka kerana kawasan sekitar Merapi ini berdebu.

Paling seronok tour ni, apabila masuk part off road, di mana jip yang korang naik akan melalui kawasan berair. Fuh! Memang best! Kalau korang tak nak pakai baju anti basah yang disediakan, korang boleh la bawa baju ganti. Memang akan basah habis!

Dengan melalui jalan ‘off-road’ yang mencabar, korang bukan sahaja boleh ambil gambar yang cantik tetapi turut boleh merasai dan membayangkan keadaan kawasan ini ketika lava ‘dimuntahkan’ oleh Merapi. Apabila melihat tinggalan yang ada di sini, korang dapat merasai suasana di sini ketika itu! Sebak melihat semua tinggalan yang ada, dan lebih sebak lagi, apabila kunjungan kami disambut baik oleh seorang individu penting yang menggantikan Mbah Maridjan, bagi ‘berkomunikasi’ dengan Merapi.

“Aku tidak suka mengalah, juga tidak ingin dikalahkan. Tetapi sesuai dengan janjinya, ku mohon maaf jika ada yang dilanggar, diseret, dihanyutkan banjir dan ditenggelamkan, kerana menghalang laluan yang akan ku lalui.” Maksud Pesan Merapi dalam Bahasa Malaysia.
Harga Tour : 450,000 IDR, Sebuah Jeep – 4 orang (RM129)

  1. PANTAI TIMANG

Siapa yang tidak kenal Pantai Timang? Lokasi yang menjadi super popular setelah team program realiti Korea, Running Man melakukan penggambaran di sini. Antara aktiviti rare yang boleh korang lakukan di Pantai Timang adalah menaiki gondola yang beroperasi sepenuhnya menggunakan tenaga manusia. Sebuah mampu memuatkan dua orang dengan jumlah berat tidak melebihi 120 kg.

Selain merasai pengalaman menaiki gondola dengan percikan air laut yang kuat, korang boleh bergambar kerana pemandangan sekitarnya sangat menakjubkan. Percikan air laut yang kuat menghempas batu-batu besar di tengah laut – memang rare!
Harga Jeep : 350,000 IDR, 4 orang termasuk pemandu (RM100)
Gondola : 200,000 IDR (RM57)Titi Gantung : 150,000 IDR (RM43)

  1. GOA PINDUL

Ramai yang memuji kecantikan air di Goa Pindul melalui foto yang penulis muat naik di laman instagram. Ada yang tidak percaya kerana sewaktu mereka pergi, airnya warna cokelat muda seperti teh tarik. Kesimpulannya, sebelum datang ke Goa Pindul, semak dulu keadaan cuaca. Elakkan datang ketika musim hujan kerana air deras akan mengeluarkan ‘keladak’ dasanya hingga membuatkan warna seprti air teh tarik. Di sini, korang akan di bawa naik pelampung dan menelusuri gua yang mempunyai tiga zon kegelapan berbeza.

Boleh turun dari pelampung? Atau mandi-mandi Goa Pindul? Boleh, namun terdapat kawasan tertentu yang dibenarkan. Kesemua pemandu pelancong yang menyediakan pakej ke sini tahu lokasinya. Tanya sahaja kepada mereka.  
Tiket : 150,000 IDR, termasuk pelampung & jaket keselamatan (RM43)

  1. CANDI BOROBUDUR

Siapa yang tidak kenal dengan destinasi pelancongan ikonik Jogja, iaitu Candi Borobudur? Tidak lengkap rasanya percutian ke Jogja kalau tak singgah ke candi terbesar di dunia ini! Selain keindahan struktur binaan dan sejarah yang ada di candi ini, ramai pelancong gemar ke sini untuk merakam foto matahari naik yang cantik.

Jika berhajat untuk melihat matahari naik, korang kena bangun seawal jam 3.00 pagi! Penulis tiada masalah untuk bangun seawal itu kerana penulis menginap di Platara Heritage Borobudur – sangat dekat dengan candi ini. Kalau korang berada di luar kawasan Magelang, harap bertabah, dan bangun lebih awal kerana jika lambat bukan sahaja nak tengok matahari naik. Silap haribulan nak masuk pun tak boleh kerana kaunter bayaran beratur panjang.

Tiada rezeki penulis. Sewaktu kami ke sini, cuaca mendung pada awal pagi!
Tiket ‘Sunrise’: 450,000 IDR, percuma snek pagi dan lampu suluh (RM129)
Tiket Pakej: 520,000 IDR, Candi Borobudur & Candi Prambanan (RM149)

  1. CANDI PRAMBANAN

Selain Candi Borobudur, Candi Prambanan juga merupakan Tapak Warisan Dunia UNESCO yang terkenal di Jogja ini! Walaupun turut terjejas akibat letusan gunung Merapi, candi ini masih berdiri teguh dan dijaga dengan baik oleh penduduk tempatan. Semasa penulis ke sini, kerja-kerja membaiki tangga dan dinding di bahagian utama pintu masuk candi ini sedang di jalankan.

Di kawasan yang berkeluasan 39.8 hektar ini, banyak tempat dan sudut-sudut menarik yang korang boleh jadikan port bergambar! Sangat cantik… kalau nak gambar korang lebih umphh, datang sini dengan memakai batik.
Tiket Pakej : 520,000 IDR, Candi Prambanan & Candi Borobudur (RM149)

8. TAMAN SARI

Taman Sari terletak berhampiran dengan Kraton Sultan. Korang boleh jalan kaki dan singgah ke Taman Sari atau Istana Air. Dahulunya lokasi ini merupakan tempat bersiram Sultan dan Permaisuri. Difahamkan, selain pemerintah hanya kaum wanita sahaja yang dibenarkan untuk mandi di sini, dengan syarat tidak boleh ada seurat benang pun yang tinggal pada badannya!

Kalau nak tahu, di sini ada satu tempat terkenal dengan lokasi bergambar yang unik, iaitu dia Puing Masjid Sumur Gumuling. Tapi apakan daya, masa penulis ke sini, ramai betul pengunjung! Kesempatan nak ambil gambar di tengah-tengah kawasan ini memang hanya tinggal kenangan sahaja. Jadi, korang yang nak ke sini, datanglah seawal yang boleh agar tidak perlu bersesak dengan pengunjung lain.
Tiket : 15,000 IDR (RM4.30)

  1. MALIOBORO

Korang ‘kaki shopping’? Jika begitu, korang perlu singgah ke Jalan Malioboro. Penulis sempat singgah ke sini untuk membeli-belah di samping merakam beberapa foto kerana pemandangan sekitarnya sangat menarik. 

Selain daripada tempat berbelanja, Malioboro juga sesuai dijadikan lokasi bergambar yang unik. Di sini terdapat lambakan kereta kuda yang cantik-cantik dan beca. Bergaya dengan latar belakang kereta kuda dan kawasan Malioboro yang sentiasa sibuk pasti menjadikan foto korang nampak lebih menarik.
Tiket : Tiada sebarang bayaran diperlukan untuk ke sini.

Tags:

You Might also Like

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Scroll Up
error: Content is protected !!