Type to search

Itinerari BP

Cerita Pulau Yang Rare? 10 Nama Pulau Ini Belum Tentu ‘Korang’ Pernah Dengar

Share

Buat sesetengah orang, pastinya Pulau Seringgi jarang sekali sekali kita dengar. Apatah lagi pulau-pulau lain yang gah dimata para penyelam. Tak perlu pergi jauh, sebenarnya banyak pulau indah di dalam negara yang jarang kita ambil tahu. BackPackerz ingin mengupas 10 syurga terumbu karang yang indah yang harus ada dalam ‘wanted list’ untuk dijejaki tahun ini.

Pulau Susu Dara [Perhentian Kecil]

Kebiasaannya, mereka yang menginap di Pulau Perhentian pasti tidak akan melepaskan peluang untuk bersnorkeling di Pulau Susu Dara. Terletak berhampiran dengan pulau ikonik pelancongan negeri Terengganu iaitu 21km, pulau ini terdiri daripada beberapa gugusan pulau kecil iaitu Pulau Susu Dara, Pulau Susu Dara Kecil dan Pulau Tokong.

Perairan birunya cukup jernih hinggakan mampu melihat ke dasar lautan, kelibat ikan-ikan bermain serta keindahan batu karang yang berwarna-warni. Justeru itu, maka tidak hairanlah jika lokasi ini sering menjadi ‘port’ tumpuan snorkeling dan selam skuba.

Pulau Seringgi [Perhentian Kecil]

Turut dikenali dengan nama Pulau Serenggeh, tempat ini tentu diselitkan dalam pakej satu hari snorkeling. Seperti Pulau Susu Dara, ia merupakan syurga buat para pecinta lautan yang membiru.

Pada kebiasaannya, aktiviti di Pulau Seringgi diadakan pada waktu pagi sebelum bergerak ke lokasi snorkeling yang seterusnya. Buat mereka yang ingin menanam minat snorkeling di kalangan anak-anak, pastinya Ikan Nemo bakal mencuri tumpuan mereka tatkala pertama kali bersnorkeling di sini.

Terdapat beberapa pilihan lokasi selera pilihan. Kebanyakannya terletak di Coral Bay seperti Ewan’s Cafe, Matahari Restaurant, Shari La, Senja, Eat @ Maya, Amelia Cafe, Coral Bay dan Mama’s Kitchen atau korang boleh memilih untuk berbabeku bersama teman-teman.

Pulau Mamutik

Pulau Mamutik terletak di Kota Kinabalu. Perjalanan setengah jam dari Jesselton Point (dahulunya Terminal Feri Lembaga Pelabuhan Sabah) bakal membawa anda ke pulau ini dan beberapa tarikan lain di Taman Laut Tunku Abdul Rahman seperti Pulau Gaya, Pulau Sapi , Pulau Manukan dan Pulau Sulug. Sewa yang dikenakan bagi setiap bot yang mampu memuatkan kira-kira empat hingga enam orang adalah antara RM100 dan RM200.

Pulau Mamutik sering dianggap kurang popular berbanding Pulau Sapi dan Pulau Manukan di kalangan pelancong dek kerana kekurangan prasarana. Pun begitu, ia adalah lokasi yang lebih ideal buat mereka yang ingin bersantai dengan kurang kelibat manusia di sekeliling. Kafe-kafe kecil yang terdapat di sini juga pasti mampu memberikan kelainan untuk merasai makanan BBQ laut yang segar berlatarkan keindahan pulau.

Pulau Mabul

Boleh dikatakan, Pulau Mabul adalah satu lokasi wajib pergi walaupun sekali dalam seumur hidup, Ia merupakan ‘syurga’ untuk menyelami kehidupan Bajau Laut sejurus sahaja bertolak dari Jeti Semporna. Gah dek kecantikannya, Mabul bukan sahaja telah menjadi terkenal kerana kedudukannya yang berhampiran Sipadan, bahkan menjadi tumpuan para penyelam dari seluruh negara yang tidak melepaskan peluang untuk melihat batu karang terbaik di dunia!

Pulau Mabul juga menjadi persinggahan buat mereka yang ingin ke Pulau Sipadan tiada resort dibuka disana. Hanya 120 orang sahaja yang di benarkan melawat Pulau Sipadan dalam masa sehari. Ia adalah sebagai satu usaha untuk menjaga dan memelihara kecantikan pulau tersebut.

Pulau Tenggol

Pulau Tenggol terletak 14 batu nautika di luar pantai perkampungan nelayan yang tenang di Kuala Dungun, Terengganu. Untuk ke sini, perjalanan mengambil masa kira-kira sejam dari Jeti Kuala Dungun. Terletak di selatan Taman Laut Terengganu, Pulau Tenggol memperlihatkan beberapa lokasi snorkeling dan selam skuba yang menarik seperti Pulau Nyireh, Tokong Timur, Tokong Burung dan Tokong Talang/Tokong Kemudi dan Tokong Laut.

Pulau ini turut menyediakan kemudahan buat para tetamunya untuk menjalankan aktiviti snorkeling, menyelam skuba, merentas hutan atau bersantai dengan berbaring di pantai berpasir putih di bawah teduhan sinaran matahari. Tenggol Island Beach Resort dan Tenggol Island Beach Resort & Spa merupakan dua resort yang beroperasi di sini.

Pulau Tenggol menjadi laluan migrasi jerung paus yang biasanya bermula dari Ogos hingga Oktober setiap tahun. Ia dinanti-nantikan oleh para penyelam kerana tidak banyak tempat di dunia di mana jerung paus tinggal lebih lama di satu tempat yang tertentu.

Pulau Gemia

Pulau berbatu yang terletak hanya beberapa ratus meter dari Pulau Kapas di Terengganu. Amat sesuai untuk mereka yang datang berbulan madu atau bersama teman rapat untuk melihat keindahan lautan sekelilingnya.

Berbanding Pulau Kapas, lokasi ini agak ‘tersembunyi’ dan sesuai untuk mereka yang tidak gemar kawasan pulau yang padat dengan manusia. Hanya terdapat satu resort di sini iaitu Gem Island Resort. Kebanyakan bilik di sini menyediakan ruang balkoni yang memaparkan pemandangan laut yang indah.  

Sesi rawatan spa di sini yang cukup terkenal di kalangan pelancong serta aktviti kayak dan snorkeling keliling Pulau Gemia.

Pulau Layang-Layang (Sabah)

Pulau buatan manusia yang dianggap ‘syurga’ buat para penyelam skuba. Terletak kira-kira 300km di sebelah barat laut Kota Kinabalu, Pulau Layang-Layang bukan pulau tropika yang dipenuhi pokok-pokok seperti pulau lain. Asalnya ia adalah pengkalan marin yang kini dibuka untuk para pelancong melakukan aktiviti selam skuba. Tiada pokok kelapa, pasir memutih atau pepohon rendang di sini.

Namun, di sekelililingnya adalah air laut bewarna biru kehijauan yang sungguh cantik. Semestinya ia merupakan destinasi impian buat ‘kaki selam’ kerana terdapat 12 lokasi menyelam di sekeliling pulau ini.

Pulau Sapi (Sabah)

Pulau sapi, salah sebuah pulau di antara lima buah pulau di Taman Marin Tunku Abdul Rahman, kira-kira 15 minit menaiki bot dari Kota Kinabalu. Dikatakan sebagai antara pulau tercantik di Sabah. Akses sama ada dari jeti Jesselton atau Sutera Harbour.

Dicadangkan untuk anda tempah pakej lawatan sehari ke sini untuk mandi-manda di air lautnya yang jernih dan bewarna kebiruan. Pakej setengah hari di sini biasanya menawarkan sekali sesi makan tengahari jadi ia lebih memudahkan.

Aktiviti unik, Scuba Doo Mini Submarine yakni berjalan di dalam air dengan memakai kelengkapan kapal selam berbentuk motosikal. Memang best kerana hanya Pulau Sapi dan Pulau Manukan yang menawarkan aktiviti sebegini.

Pulau Perhentian Besar

Semestinya memiliki saiz lebih besar daripada Pulau Perhentian Kecil, Perhentian Besar adalah lokasi sesuai untuk menatap keindahan lautan sekeliling sambil membaca novel, berjemur atau sekadar menikmati minuman ringan tepi pantai. Ia menawarkan bukan sekadar pakej snorkeling, malah aktiviti merentas hutan turut disediakan.

Penginapan yang disediakan di sini juga lebih banyak berbanding dengan apa yang ditawarkan di Perhentian Kecil. Antara yang boleh dipilih adalah Perhentian Island Resort, Bubbles Dive Resort, Tuna Bay Island Resort, Coral View Resort, Arwana Eco Resort dan banyak lagi.

Pulau Rawa

Pulau yang kaya dek terumbu karang ini terletak di sebelah Pantai Timur Johor, iaitu 16km dengan menaiki bot dari jeti Mersing. Pulau ini tidak terlalu besar tetapi menawarkan kawsan pantai yang bersih dan air laut yang bewarna kebiruan. Jika berhajat nak datang ke sini, aku cadangkan menginap di Rawa Island Resort yang menyediakan kemudahan lengkap seperti berkayak dan aktiviti snorkeling.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Scroll Up
error: Content is protected !!