LOADING

Type to search

Insider BP

CONCUBINE LANE – Eksplorasi Sisi Unik Ipoh

backpackerz April 18, 2018
Share

Street market atau bahasa mudahnya, pasar jalanan sentiasa menonjolkan seni tempatan, budaya setempat serta pelbagai tawaran makanan lokal jalanan yang menyelerakan.

Tidak dilupakan juga tarikan lorong jalanan yang wujud di Malaysia ini semakin ‘agreasif’ mengetengahkan ciri-ciri artistik dan seni yang cukup menarik untuk tatapan masyarakat umum. Setiap lokasi seperti ini mengandungi cerita yang berbeza dan sejarah tersendiri.

Zaman millennial sedang pesat membangun dengan struktur moden serta berteknologi, namun peninggalan tempat-tempat khazanah perlu dikekalkan sebagai tatapan generasi akan datang. Pepatah melayu ada menyebut, “Tiada yang lama, tiada yang baru”.

Tempat pelancongan “Concubine Lane” di Bandar Lama Ipoh menyimpan 1001 kenangan yang perlu ‘diterjah’ oleh pengembara tempatan. Tugas #BackPackerz adalah memperkenalkan lokasi-lokasi #Lokal yang menepati citarasa percutian gaya backpackers.

Sayangnya, masih ramai pelancong domestik tidak menyedari tempat-tempat unik dan ‘tersembunyi’ seperti Concubine Lane di Ipoh ini kerana lebih gemar meluangkan percutian ala-ala mewah dan menelan belanja yang ‘hangus’, walhal banyak lagi lokasi ‘mampu’ belanja di Malaysia. #DekatJe.

Berjalan di sekitar bandar kolonial di Ipoh ini pasti membuatkan pandangan korang tertumpu menghayati dekorasi mural pada bangunan serta lorong lama seperti Concubine Lane, Wife Lane dan Market Lane.

ASAL USUL “LORONG CONCUBINE”

Buat pengetahuan umum, Concubine Lane yang terletak di Lorong Panglima, Ipoh, Perak ini sudah berusia lebih daripada 120 tahun! Memang layak lokasi lokal ini digelar Ipoh Heritage Trail kerana Concubine Lane menampilkan deretan rumah-rumah warisan imigran Cina sejak tahun 1892.

Lorong Concubine menyimpan sejarah yang berlaku sekitar tahun 1892, apabila sebahagian Kota Lama Ipoh dibina semula selepas musnah dijilat api. Kemudian, lorong-lorong tersebut dimiliki oleh hartawan perlombongan lalu menyerahkan rumah-rumah di lorong itu kepada tiga isterinya. Penduduk tempatan ketika itu menamakan setiap lorong mengikut nama-nama isterinya – Err Nai Xiang (Concubine Lane), Da Nai Xiang (Wife Lane) dan San Nai Xiang (Market Lane).

Selain itu, terdapat satu lagi cerita tersirat disebalik  Lorong Concubine ini di mana ia juga merupakan lorong untuk orang kaya terdahulu ‘menyimpan’ isteri kedua (gundik) mereka. Wow!

3

LORONG ‘ISTERI & PASAR’

Semasa kunjungan kami, Concubine Lane adalah lorong utama yang banyak dilakukan perubahan jika dibandingkan dengan dua lorong lain yang ada di sekitar Jalan Panglima, Ipoh. Lorong Concubine ini lebih segar, cantik dan telah diangkat menjadi produk pelancongan terbaharu di Bandaraya Ipoh! #IpohMali

Sekiranya korang mempunyai masa terluang, idea yang baik adalah melawat Wife Lane dan Market Lane kerana lorong tersebut masih asli, ‘dara’ dan tidak disentuh. Bagi merasai keunikan dan pengalaman lebih menyeronokkan, boleh terus serbu Concubine Lane.

Usai berkongsi mengenai sejarah dan kewujudan Lorong Concubine ini, #BackPackerz juga ingin ‘membongkar’ berkenaan tarikan lain yang boleh anda dapati di sekitar Concubine Lane seperti deretan gerai berwarna-warni yang menjual perhiasan antik, barangan lama, makanan jalanan dan macam-macam lagi.

SELERA LOKAL – ROTI PELANGI LELEH

Lorong Concubine ini lebih meriah sekiranya korang lawati pada hujung minggu mahupun cuti perayaan umum kerana lebih banyak tawaran menarik daripada gerai-gerai klasik sedia ada.

Antara makanan jalanan yang wajib korang cuba adalah gula-gula kapas berbentuk bunga, aiskrim potong, ais kepal madu, air kelapa segar, Concubine Lane Tau Fu Fa dan Soya Bean, jus mangga segar dengan topping aloe vera serta jeli kristal. 

Tetapi, sajian paling ‘diingati’ di Lorong Concubine ini adalah Kuma rainbow cheese toast – menggunakan enam pewarna buah bagi menghasilkan keju yang berwarna pelangi. Keunikkan pada roti bakar ini adalah roti yang rangup dan manis serta rasa ‘meleleh’ keju yang berlemak membuatkan perut korang terus kenyang! Sumpah tak tipu.

Pembukaan semula Concubine Lane ini bukan hanya tertumpu kepada ‘nafsu’ shopping sahaja, malah kira-kira 20 peniaga ‘otai’ di sini bercadang untuk menganjurkan pesta kebudayaan serta sambutan perayaan umum kerana kebanyakan pelancong yang melawat Lorong Concubine adalah pelbagai kaum. #SatuMalaysia

Pendek kata, kewujudan Concubine Lane di Bandar Lama Ipoh ini adalah petanda yang baik bahawa Perak berpotensi untuk menarik pengembara free independent traveler (FIT) mahupun pelancong luar untuk menikmati local dessert, mengamati bangunan lama dan bersejarah serta seni jalanan yang mampu menarik minat pengembara muda untuk swafoto di Lorong Concubine. 

Bandaraya Ipoh turut mendapat perhatian antarabangsa kerana telah disenaraikan oleh Lonely Planet sebagai antara “Best Places to Go in Asia for 2016”.

TARIKAN LAIN DISINI

– Miniature Wonders Art Gallery   – Culture & Art Corridor Market Lane  – Meiko Kaiso Shop  – 27 at Concubine Lane

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll Up
error: Content is protected !!