LOADING

Type to search

Feast BP

‘HULUBALANG’ SAJIKAN TEMPOYAK DI TERATAK NDA

Backpackerz July 10, 2018
Share

Duduk bersila sambil menikmati patin tempoyak dan udang galah dengan kostum seperti pahlawan Melayu, Teratak Tempoyak Nda adalah lokasi makan wajib pergi apabila anda berkunjung ke negeri Perak.

Teratak Tempoyak Nda yang terletak di Kampung Pulai, Gopeng (berhampiran susur keluar tol Gopeng) ini menampilkan hidangan popular Negeri Perak, iaitu Tempoyak Patin yang dihidangkan dalam sebuah rumah kampung yang dijadikan restoran.

Ia mula beroperasi pada tahun 2014 yang diusahakan oleh empat beradik yang telah lama berhajat membuka kedai makan memandangkan masing-masing berkebolehan dalam bidang masakan. Nor Ain Azmee, Muhammad Azri Azmee, Nor Aifaa Azmee dan Muhd Rizal Ridzwan memilih rumah kampung yang disewa daripada penduduk tempatan untuk memulakan perniagaan makanan berkonsepkan sajian kampung.

Keistimewaan Taratak Tempoyak Nda bukan sahaja terletak pada kepelbagaian sajian berasaskan tempoyak yang sedap, malah kostum unik yang dipakai pekerja-pekerja di sini. Jika datang pada hujung minggu, anda akan dilayan oleh pelayan-pelayan di kedai ini yang lengkap bertanjak dan ‘persalinan’ seperti pahlawan Melayu dahulu kala. Paling best, terdapat beberapa koleksi persalinan dan tanjak di sini untuk tetamu mencuba sendiri dan mengambil gambar kenangan.

Ruang makan dalam restoran terbahagi kepada dua. Bahagian bawah dan di atas rumah. Kedua-dua ruang makan ini mampu memuatkan kira-kira 50 tetamu pada satu-satu masa. Selain ikan patin masak tempoyak, turut ditawarkan udang galah, ikan keli, kembung, udang biasa, atau daging dan ayam dimasak asam pedas dan masak kicap. Ikan patin yang digunakan boleh dibeli di pasar biasa tetapi dibeli daripada pemilik yang menternak ikan patin dalam sangkar.

Harga yang ditawarkan juga berpatutan – memikirkan apa yang anda dapat termasuklah set patin tempoyak. Harga untuk setiap set bermula dari RM12.90 hingga 18.90 untuk satu set hidangan nasi, telur dadar, ulam-ulaman bersama sambal belacan, udang galah dan patin tempoyak.

Menurut Azri dan Aifaa, Taratak Tempoyak Nda sering dikunjungi pelancong dari luar negeri Perak, seperti dari Selangor, Kuala Lumpur dan Singapura. Restoran ini beroperasi dari jam 11.00 pagi hingga 10.00 malam setiap hari kecuali Isnin.

INFO

  • Restoran mengalu-alukan tempahan berkonsep majlis keraian tradisional.
  • Pernah menganjurkan majlis makan berserta permainan muzik tradisional
  • Melayu dan pertunjukan silat.
  • Datang awal jika mahu makan di ruang atas rumah. Ia mengingatkan zaman kanak-kanak sewaktu di kampung dengan dinding dan pintu kayu.

Alamat : No. 12 Kampung Pulai, Gopeng. Selepas susur keluar tol Gopeng, belok kanan. Restoran terletak berhadapan stesen minyak Petronas

Tags:

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll Up
error: Content is protected !!