LOADING

Type to search

Travelog BP

Ini Tempat Yang Anda Perlu Pergi Jika Travel Ke Jogja

backpackerz April 25, 2018
Share

Jogja atau ejaan asalnya ‘Yogyakarta’ adalah sebuah kota di Jawa Tengah, Indonesia yang juga dikenali sebagai ‘kota pelajar’ bagi penduduk tempatan kerana hampir 20% daripada penduduknya adalah pelajar.

Perancangan kami berdua untuk berkunjung ke sini gara-gara tularnya banyak lokasi menarik dari filem Ada Apa Dengan Cinta 2 (AADC2) yang kebanyakan babaknya dirakam di Jogja. Kami ke sini selama 4 hari 3 malam. Banyak juga tempat yang sempat kami lawati selama berada di sini. Buat anda yang mahukan sedikit panduan tentang lokasi-lokasi yang harus dituju, berikut adalah pilihan kami:

8 LOKASI MESTI PERGI DI JOGJA

JOGJA4

HUTAN PINUS PENGGER

Salah satu tempat yang harus dilawati di Jogja. Wisata alam ini menawarkan panorama hutan pinus yang cantik dan permandangan kota Jogja dari jauh. Pinus Pengger juga menawarkan banyak spot untuk bergambar seperti sarang burung, ‘love’, spot berbentuk tapak tangan dan sebagainya. Oh ya, kesemua lokasi ini berlatarkan kota Jogja! Tiada masalah untuk pengunjung jika terlupa membawa kamera kerana di sini disediakan khidmat jurugambar profesional tetapi khidmatnya hanya bermula selepas jam 7.00 malam. Kalau hendak ke sini disarankan untuk datang ketika hari sudah gelap kerana gambar anda akan lebih cantik berlatar belakangkan lampu-lampu dari kota Jogja.

CANDI BOROBUDUR

Diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia (UNESCO). Perkataan UNESCO sahaja sudah menunjukkan yang anda harus melawat Candi Borobudur, candi Buddha yang terbesar di dunia. Bayaran masuknya agak mahal sedikit (300,000++ Rupiah seorang). Di sini, anda perlu banyak berjalan kerana kawasannya besar ditambah pula anda perlu menaiki anak tangga yang banyak untuk sampai ke puncak candi. Untuk berkunjung ke sini, kami sarankan bawa topi atau payung kerana cuaca agak panas walaupun jam baru pukul 10.00 pagi. Terlupa? Tidak mengapa, terdapat ramai penduduk tempatan yang menjual topi, payung, kaca mata hitam dan lain-lain di sini. Terdapat juga banyak kedai cenderamata untuk anda beli sebelum keluar dari candi ini.

JURANG TEMBELAN

Terletak di tebing kawasan berbukit, boleh dikatakan Jurang Tembelan merupakan lokasi bergambar yang perlu anda singgah kerana ia berlatar belakangkan pemandangan sungai, bukit bukau dan perkampungan di kaki bukit dalam satu gambar. Spot bergambar? Banyak! Salah satunya berbentuk seperti perahu @ kapal yang lebih dikenali dengan nama ‘Titanic-nya Mangunan’ oleh penduduk tempatan. ‘Titanic’ ini 100% buatan tangan menggunakan material buluh. Rasa agak gayat di sini kerana kesemua lokasi untuk anda berdiri tergantung betul-betul di lereng bukit. Bagi kami, rugi ke sini jika anda mengalami masalah takut pada ketinggian. Oh ya! Menurut penduduk tempatan, untuk kelainan sila datang ke sini awal pagi kerana disini menawarkan pemandangan matahari naik yang sangat cantik serta dihidangkan dengan kepulan awan yang berada di bawah anda! Seperti di alam alam fantasi!

KALIBIRU

Inginkan gambar berlatarkan hutan yang menghijau, langit yang membiru dan danau yang mempesonakan? Kalibiru adalah tempatnya! Di sini, gambar anda latar belakangnya akan berunsurkan keindahan alam semula jadi. Sama seperti di Pinus Pengger, tempat bergambar di sini juga banyak seperti panggung, bundar, ‘love’ dan lain-lain. Keselamatan anda juga diutamakan ketika bergambar di sini. Khidmat jurugambar profesional turut disediakan untuk memudahkan anda bergambar. Bayarannya agak berpatutan, lebih kurang 4,000 Rupiah untuk sekeping gambar menggunakan kamera resolusi tinggi (DSLR). Di Kalibiru, anda disarankan untuk datang pada siang hari berbeza dengan Pinus Pengger. Untuk anda yang menggemari aktiviti extreme, flying fox juga boleh dilakukan disini.

PANTAI TIMANG

Gondola; ombak besar; udang galah – antara sebab kenapa anda perlu ke Pantai Tiamng! Tempat paling wajib dikunjungi di Jogja. Kos perbelanjaan ke Pantai Timang juga agak mahal berbanding lokasi-lokasi lain. (Gondola – 200,000 Rupiah seorang). Kenalah dengan harganya untuk pengalaman menaiki gondola yang 100% buatan tangan, tanpa mesin & anda ditarik sendiri oleh penduduk tempatan untuk ke seberang. Jika nasib tidak baik, ombak besar yang menghentam batu akan membasahkan anda seperti yang kami alami (nasib baik bawa lebihan baju). Boleh mencecah 10 meter juga tinggi ombak selepas menghentam batu.
Untuk ke pantai, anda perlu menyewa jip kerana perlu melalui laluan berbatu selama 30 minit sebelum sampai ke pantai (350,000 Rupiah untuk 1 jeep – maksimum empat orang). Jika anda datang kurang dari empat orang, jangan segan mengajak pengunjung lain berkongsi jip dengan anda untuk menjimatkan kos. Selepas selesai aktiviti gondala, anda boleh menikmati udang galah di Kedai Lobster Pak Sis Timang. Harganya sangat berpatutan untuk udang galah yang besar. Anda boleh tangkap sendiri udang galah sendiri yang hidup di dalam sangkar dan terus dimasak.

MAKANAN : Penduduk di Jogja majoritinya adalah Muslim, jadi tiada masalah untuk mencari makanan halal di sini. Terdapat banyak restoran dan warung di bahu jalan menjual makanan halal tetapi pengunjung disarankan tidak membeli di warung kerana kebersihannya tidak dijamin. Pengunjung juga boleh mencuba makanan asli yang berasal dari bumi Jogja seperti Gudeg, Krecek, Bakpia Pathuk dan sebagainya.

GUMUK PASIR

Gumuk? Penduduk tempatan memberitahu kami yang ‘gumuk’ itu bermaksud timbunan. Anda boleh rasai sendiri pengalaman seperti berada di padang pasir jika berkunjung ke Gumuk Pasir. Antara keunikan di sini sudah pasti pasirnya yang begitu halus dan berwarna kelabu kehitaman. Aktiviti yang boleh anda lakukan disini ialah bermain ‘sandboarding’. Terdapat juga banyak lokasi menarik untuk bergambar. Tidak dilupa, Gumuk Pasir sering dijadikan lokasi penggambaran klip video serta foto ‘pre wedding’. Jika berkunjung di sini, boleh diselitkan sekali ke Pantai Parangtritis kerana jarak perjalanannya lebih kurang lima minit sahaja.

HUTAN PINUS MANGUNAN

Berhampiran dengan Jurang Tembelan, Hutan Pinus atau Pine menjadi salah satu lokasi wajib untuk anda kunjungi jika cintakan kehijauan alam semula jadi. Susunan pokok pine yang ditanam tersusun rapi menjanjikan gambar anda kelihatan cantik. Boleh dikatakan hutan pine di sini mirip seperti hutan pine di negara bukan beriklim Khatulistiwa (Ala-ala hutan pine di dalam filem Hollywood & hutan pine di Nami Island, Korea). Yang pasti sila abadikan foto anda jika datang ke Hutan Pinus Mangunan.

PANTAI PARANGTRITIS

“Vitamin-Sea”; Istilah bagi mereka yang menggemari pantai. Pantai Parangtritis adalah tempatnya! Seperti di Gumuk Pasir, pasir di Pantai Parangtritis berwarna kelabu kehitaman menambah keunikan pantai tersebut. Pernah merasai pengalaman menaiki kereta kuda atau menunggang kuda di pesisir pantai? Di sini anda sendiri boleh merasai pengalaman tersebut sambil menikmati keindahan matahari terbenam dan deruan ombak besar Lautan Pasifik yang pasti membuatkan anda lupa akan kesibukan kota. Selain kuda, ATV juga disediakan jika anda ingin merasai menunggang ATV di pesisir pantai. Jangan terkejut jika anda melihat terdapat segelintir penduduk tempatan mandi-manda dan ‘surfing’ walaupun telah diletakkan papan tanda dilarang mandi kerana ombak besar.

Senang cerita, tidak rugi jika anda berkunjung ke Jogja kerana banyak lagi lokasi menarik yang boleh anda kunjungi selain lokasi di atas. Yang pasti Jogja akan menjanjikan pengalaman yang tidak akan dilupakan sampai bila-bila. ‘Jauh perjalanan, luas pemandangan’.

PENGINAPAN : Untuk penginapan pula terdapat banyak hotel yang boleh didapati dengan harga yang berpatutan. Walaupun kebanyakan hotelnya hanya bertaraf 2-3 bintang tetapi selesa untuk didiami selama berada di sini. Memandangkan kami hanya pergi berdua, untuk trip ini kami menginap di Adhistana Hotel, lebih kurang 5 km dari Malioboro Street. Hotelnya bercirikan jawa, ‘old school’, sangat selesa dan tenang untuk didiami. Untuk yang pergi beramai-ramai bersama rakan, pengunjung boleh menjimatkan kos dengan menginap di dorm (1 bilik maksimum 6 orang). Dorm juga mudah untuk didapati di sini contohnya di Adhistana Hotel, Edu Hostel dan sebagainya.

Scroll Up
error: Content is protected !!