Type to search

Travelog BP

Menikmati Keindahan Perth Ala Backpackers

Share

Sekitar 5.15 pagi penerbangan dari Kuala Lumpur ke Perth, Australia selamat mendarat lima belas minit lebih awal daripada jangkaan. Selepas melalui pemeriksaan imigresen dan kastam tanpa sebarang masalah, aku dan adik yang bercuti secara backpack segera mendapatkan kad sim tempatan.  Capaian internet sangat penting bagi pengembara untuk memastikan lokasi yang ingin dituju dapat dicapai dengan masa yang pantas. Ini menjimatkan masa dan tenaga.

 

Usai segala urusan, kami terus menunggu bas di stesen tidak jauh dari pintu keluar Terminal 1, Perth International Airport. Pemandu bas menyapa mesra ucapan selamat pagi memberikan persepsi positif aku terhadap masyarakat Perth. Aku mendapatkan pas Day Rider bernilai AUD12.10 yang membolehkan perjalanan tanpa had bagi bas dan tren Transperth selama sehari.

Ketika berada di Perth, cuaca di sini agak sejuk disebabkan musim luruh. Nasib baiklah aku telah bersiap sedia lebih awal dengan membawa pakaian yang agak tebal.

Lokasi Pertama – Fremantle

Selepas meninggalkan beg di hotel, kami terus menaiki bas ke Fremantle, sebuah bandar pelabuhan pesisir Lautan Hindi kira-kira 26 kilometer ke selatan Perth. Di Fremantle, kami berjalan kaki sahaja memandangkan tempat-tempat menarik terletak berdekatan. Fremantle Prison, Cappuccino Strip dan Western Australia Shipwreck Museum antara destinasi yang menarik di sini.

Tidak dilepaskan ialah peluang menikmati makan tengah hari di Fishing Boat Harbour, pelabuhan bot nelayan terbesar di Australia. Terdapat dua pilihan restoran yang popular dan kami memilih Cicerello’s kerana ia ialah jenama terkenal sejak 1903 lagi.

E-Shed Market yang tidak jauh dari stesen kereta pula pasti  membuatkan sesiapa sahaja teruja untuk membeli-belah kerana ia menawarkan harga yang amat berpatutan. Aku sempat memborong cenderamata untuk dibawa pulang kepada saudara-mara dan kenalan di tanah air.

Menjelang petang, kami kembali ke Perth untuk menikmati pemandangan bangunan-bangunan pencakar langit di Elizabeth Quay dari petang sehingga malam. Kelipan lampu bangunan yang menyinari langit begitu mempesona.

Swan Valley

Setiap pelancong yang melawat Australia pasti ingin bertemu haiwan ikonik negara ini iaitu kanggaru dan koala. Justeru, hari berikutnya kami mengambil kesempatan berbasikal di kawasan Swan Valley dari Guildford ke Caversham Wildlife Park yang sememangnya popular dalam kalangan pelancong.

Mengayuh di trek berbasikal dekat laluan jalan raya dengan kedinginan cuaca musim luruh sejauh 11 kilometer agak mencabar namun langsung tidak terasa penat malah kami begitu teruja. Sepanjang perjalanan ke Caversham terdapat banyak ladang anggur yang luas saujana mata memandang. Namun disebabkan musim luruh, anggur masih belum berbuah. 

Kami berhenti rehat sebentar di Yahava Coffee sambil membasahkan tekak yang haus dan memerhatikan keindahan ladang anggur.  Hanya beberapa ratus meter dari kafe ini terletak Margaret River Chocolate Factory yang menawarkan coklat buatan tangan istimewa.

Sekitar jam 12 tengah hari, kami tiba di Caversham. Taman hidupan liar ini sebenarnya ialah milik persendirian dan menempatkan koala, kanggaru, wombat serta pelbagai haiwan lain. Aku sendiri amat berpuas hati dapat bermain-main serta bergambar dengan koala dan kanggaru. Bulu yang lembut dan kecomelannya pasti menambat hati sesiapa sahaja lebih-lebih lagi kanak-kanak.

Mandurah – Syurga Marin

Hari berikutnya, kami ke Mandurah, bandar kedua terbesar di Australia Barat yang terletak 72 kilometer ke selatan Perth. Ekosistem Mandurah menjadi habitat kepada ikan lumba-lumba, burung undan dan banyak hidupan laut termasuk ketam ‘blue manna’ yang sinonim dengan kawasan ini.

Mandurah turut terkenal dengan terusan air yang dilindungi, pantai yang memutih dan aktiviti menaiki bot serta memancing. Tidak hairanlah sekiranya ia menarik sejumlah besar pelancong termasuk pelawat antarabangsa yang gemar akan fauna marin.

Tidak susah untuk ke sini, kami menaiki tren dari Perth yang hanya memakan masa selama satu jam. Jika tersesat, tanya sahaja pada masyarakat tempatan, mereka pasti sedia membantu.

Mandurah Ocean Marina menawarkan perkhidmatan belayar sambil melihat ikan lumba-lumba. Tiket telah ditempah dalam talian lebih awal di Malaysia dan hanya bernilai AUD17 sahaja berbanding AUD28 jika dibeli di sini.

Pelayaran menggunakan bot melalui Mandurah Canal seolah-olah seperti berada di mini Venice. Terusan melalui kawasan perumahan mewah menyajikan pemandangan yang manakjubkan. Sekali-sekala burung undan terbang sambil menyambar ikan. Kelihatan juga beberapa orang pemancing sedang menunggu umpan mereka dimakan ikan.

Kami bernasib baik kerana dapat melihat kemunculan ikan lumba-lumba. Namun sedikit menyedihkan kerana ia hanya muncul sekali sahaja sepanjang pelayaran selama satu jam tiga puluh minit itu. Keseluruhannya aktiviti ini amat berbaloi untuk diikuti.

Bertandang ke Kings Park

Bagi penggemar flora pula, Kings Park dan Taman Botani mempamerkan koleksi mengagumkan flora Australia Barat. Kings Park permata yang menghiasi Perth ialah salah satu taman dalam bandar yang terbesar di dunia, dikunjungi lebih enam juta orang setiap tahun dan popular untuk berkelah, berjalan malah acara kebudayaan dan istiadat turut diadakan di sini. Aku tidak melepaskan peluang menghabiskan masa di sini bersama adik.

Hampir dua pertiga daripada Kings Park yang berkeluasan 400.6 hektar adalah hutan belukar semula jadi yang mengandungi 319 spesies tumbuh-tumbuhan asli dan kira-kira 80 spesies burung. Kawasan lain meliputi taman-taman buatan dan kawasan rekreasi terbuka. Kings Parks sesuai sebagai tempat mencari inspirasi, bersantai dan rekreasi untuk semua peringkat umur.

Lokasi menakjubkan Kings Park di atas bukit menghadap bandar Perth dan Sungai Swan yang mengalir kebiru-biruan membuatkan latar langit Perth kelihatan menawan. Malah, Perth Hills di kejauhan turut kelihatan jelas dari Kings Park.

Watertown Brands Outlet Centre

Selain alam semula jadi yang memukau, Perth turut mempunyai beberapa lokasi yang hebat untuk membeli-belah. Watertown Brands Outlet Centre yang terletak di Wellington Street tidak jauh dari stesen tren City West menawarkan pelbagai barangan berjenama di dalam satu bangunan. Berkonsepkan outlet premium seperti JPO di Malaysia, Watertown memberi pelbagai pilihan kepada pengguna daripada pakaian hinggalah aksesori dan jam tangan. Harganya pula agak rendah dan pasti sesuai dengan pelancong ala backpackers.

Kami juga berkesempatan berjalan-jalan di siar kaki sekitar bandar Perth dan tidak melepaskan peluang menikmati secangkir kopi di sebuah kafe dekat Murray Street Mall. Aroma kopi yang menusuk hidung membangkitkan selera ketika badan tiba-tiba dihinggap kedinginan akibat cuaca makin sejuk.

Dari bandar metropolitan, pantai yang memutih, pulau yang mempesona, kawasan pertanian yang subur hinggalah padang pasir yang gersang, Perth menjanjikan pengalaman yang pasti tidak mengecewakan sesiapa pun. Aku mengakhiri percutian di Perth dengan kenangan indah yang sukar dilupakan.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Scroll Up
error: Content is protected !!