LOADING

Type to search

Feast BP Urban BP

Pening Cari Makanan Halal Kat Jepun? Upin & Ipin Sedia Membantu!

MohdZarin.com April 8, 2018
Share

Bila bercuti ke Jepun, salah satu kerisauan tentunya makanan halal. Sebenarnya, di Jepun sudah banyak lokasi makanan halal,  lebih-lebih lagi sejak setahun dua ini kerana mereka mula mementingkan keperluan halal buat pengembara muslim.

Kalau berkesempatan ke Tokyo, bolehlah berkunjung ke Ippin Halal Teppanyaki yang terletak di Ebisu. Restoran halal ini berkonsepkan siri animasi terkenal di Malaysia iaitu Upin & Ipin.

Sebagai duta halal di Jepun, watak Upin & Ipin sememangnya sinonim dengan produk makanan halal. Nama Ippin digunakan bagi mengantikan Upin & Ipin kerana “Ippin” bermaksud sesuatu yang sangat baik dalam bahasa Jepun.

Ippin Teppanyaki terletak di kawasan Shibuya dan train station yang paling hampir adalah Ebisu Station. Lokasinya agak sukar untuk dicari kerana kita harus berjalan sedikit mendaki bukit. Pastikan rujuk pada peta atau google map sebelum ke sini.

Sebaik sahaja sampai di pintu restoran yang terletak di tingkat atas bangunan, papan tanda “Selamat Datang” terpampang di pintu masuk.  Bendera Jepun dan Malaysia beserta gambar Upin & Ipin menyambut kedatangan kita ke sini. Di dalam restoran ini pula mereka menggunakan dinding berwarna merah dan lampu kuning bagi menimbulkan ‘mood’ tenang ketika menjamu selera.

Terdapat satu lagi gambar Upin & Ipin berlatar belakangkan suasana kampung yang dilukis dengan stroke lukisan ala-ala Jepun. Terdapat watak-watak seperti Opah, Tok Dalang, Kak Ros, Uncle Muthu dan ramai lagi. Memang sangat cantik dan bangga sebagai rakyat Malaysia sebab pasti dah ramai orang Jepun yang bertandang di restoran ni.

Sudah pasti restoran Ippin ini HALAL kerana terdapat sijil halal dari NAHA Nippon Asia Halal Association di kaunter bagi rujukan pengunjung. NAHA adalah organisasi yang bertanggungjawab bagi persijilan Halal di Jepun.

Kebiasaannya, restoran halal di Jepun lebih mahal kerana setiap bahan mentah seperti ayam dan daging diimport dari negara Islam bagi menjamin piawaian ketat yang dilaksanakan.

Bahkan, kesemua chef di sini adalah orang Jepun sendiri yang telah dilatih untuk penyediaan makanan halal dan menariknya, masakan Melayu.

Menu pilihan aku ialah hidangan berasaskan grill iaitu salmon dan daging wagyu. Selain itu, aku turut mencuba beberapa makanan Jepun yang pertama kali aku rasa seperti Gyoza, Udon dan ayam goreng Jepun yang dipanggil Tore Karage.

Uniknya, tak lama lagi Ippin akan cuba menyerapkan menu masakan Melayu seperti Mee Goreng, Nasi Goreng, Mee Kari dan sambal. Mungkin rasanya tak sama seperti Mee Goreng di kedai Mamak, tapi tentu sesuatu yang harus dicuba.

Macam mana? Nampak sedap tak? Jadi jangan lepaskan peluang untuk datang ke restoran ini bila terbang ke Jepun nanti.

Ippin Teppanyaki Restaurant,
2 Chome-13 Ebisunishi, Shibuya-ku,
Tōkyō-to 150-0021, Japan
Facebook : https://www.facebook.com/ippin.ebisu
Laman Web : http://ippin-halal.jp/

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll Up
error: Content is protected !!