LOADING

Type to search

Feast BP Kampung Bp

Selera Azrorasa – Taiping Curry Style

backpackerz April 8, 2018
Share

Perkara pertama yang menangkap fikiran aku ketika tiba bukanlah masakan sedap digembar-gemburkan oleh pemburu makanan, tetapi suasana persekitaran yang mengelilingi kedai makan restoran Azrorasa ini. Kenapa aku gambarkan ia sebagai kedai makan, bukannya restoran! Ini adalah cara penduduk disekitar sini memanggil sesebuah lokasi makanan.

Sebuah warung kecil, gaya kampung, terletak di ‘pulau’ kecil di tengah-tengah sebatang sungai. Pokok-pokok teduh meneduhi sisi warung bersama sampan kecil dan bot menjadi pelengkap seperti berada di atas restoran terapung. Sangat indah, tenang, dengan aliran sungai yang lancar dan bunyi fauna kampong, menambah rasa ketenangan. Aku yang datang berkumpulan segera mencari tempat duduk dan kami tidak sabar ingin meninkmati makanan tengah hari yang bakal dihidangkan.

Lokasi kedai ini terletak di dalam kawasan Kampung Matang Gelugor. Jangan tersalah pula kerana Kedai Kopi Kari sembilang perlu memasuki simpang kanan (bila berada di Simpang Tiga, berhadapan Muzium Matang), Kedai Makan Azrorasa ini pula menghala ke Simpang Kiri. Teruskan perjalanan anda sehingga melepasi pintu gerbang Kampung Matang Gelugor. Anda akan melalui jalan kampong sehinggalah anda Nampak lokasi kedai yang berada di tengah sungai dan perlu melepasi sebuah jambatan kecil untuk ke tengah.

Saat yang dinanti telah tiba. Makanan di sini dengan gaya kampung Melayu yang asli, penuh dengan bahan dan rasa.  Semuanya disediakan segar, dari peringkat masakan awal, ketika anda memesannya. Oleh itu, pesanan perlu dilakukan lebih awal.

Kami tiba awal hari ini jadi masih kurang orang. Kami belajar dari pengalaman. Tips untuk anda, sila call dahulu untuk tempahan. Jika anda seorang yang kurang sabar, anda akan tak senang duduk menunggu. Ini disebabkan mereka masak makanan satu persatu. Bukan kita datang dan terus cedok lauk. Tidak.  Berkonsepkan “Meh makan ketam dan ikan yang fresh”. Makanan dimasak panas dan terus dari ladang.

Juga lebih mudah jika anda bertanya terlebih dahulu sekiranya kedai buka atau tutup kerana seperti perkara yang baru terjadi disini dimana warung ini telah dilanda bencana alam iaitu banjir. Bila air pasang sedikit pasti akan naik ke warung, maklumlah, tepi sungai.

Keistimewaan Selera Azrorasa ialah Gulai Kari Ikan Sembilang. Dihantar ke meja anda dalam mangkuk seramik (Claypot) untuk membantu mengekalkan haba. Kuah Kari kemerahan, dengan lemak santan dihidangkan bersama potongan ikan sembilang segar dan kacang bendi. Ia agak pedas tetapi jika dinikmati, keindahan rasa ikan sembilang pasti diingati. Isi Ikan lembut dan dimasak dengan sempurna, sememangnya terbina ‘Kick’ dalam rasa.

Menu kedua kami, Ikan Sembilang Goreng, masakan ringkas, hanya kunyit dan garam biasa, tetapi digoreng betus dengan rasa rempah serta isinya yang manis menangkap selera aku yang tidak gemarkan isi ikan terlalu garing. Sesuai juga dinikmati sebagai lauk untuk diratah.

Yang menjadi menu utama aku sebagai penggemar adalah Ketam Masak Cili. Ketam dilumur dalam sos berasaskan cabai (Orang perak sebut cili), rasa manis dan masam, dengan jumlah agak banyak. Anda pasti memerlukan dua tangan anda untuk hidangan lazat ini, dan segala keayuan anda akan hilang dengan rasa manis dan segar. Pembuka hidangan kampung pastinya hidangan hidangan ulam yang sangat segar, hijau dengan sambal belacaan.

Menjadi kegemaran aku sejak kecil, produk minuman tempatan yang dihasilkan di Taiping iaitu MYM sodas, dalam perisa strawberi, oren atau sarsaparilla.

Dengan harga RM 60 untuk kami berempat memang boleh dikatakan agak murah kerana hidangan yang kami pesan merupakan hidangan utama disini. Memang sangat berbaloi.

Tulang belakang Selera Azrorasa iaitu Kak Rohaya Othman, beliau menjayakan Selera Azrorasa dengan kakaknya sejak sepuluh tahun lalu. Dengan bermula pada perniagaan laksa dan mee udang, sebelum mereka membuka restoran ini. Ketam dan sembilang disimpan hidup didalam tangki di belakang warung, menjadikan masakan sentiasa dari bahan yang segar dan kebiasaannya mendapatkan bekalan dari beberapa nelayan tempatan yang pergi ketam dan ikan.

Seperti yang dimaklumkan, telefon dulu sebelum datang kerana aku tahu yang ketam dan sembilang ini merupakan bahan makanan bermusim dan anda pasti tidak mahu pulang tanpa merasai sendiri rasa masakan ini disini.

Apabila kita bercakap tentang makanan yang dinikmati oleh deria rasa kita, ia benar-benar membawa makna secara literal. Ingat, kita tidak hanya makan dengan mulut kita, tetapi mata kita, hidung, bahkan telinga kita, barulah deria rasa kita akan memberi seluruh perhati pada nikmat. Apabila semua faktor ini bersama, anda mungkin akan menikmati faktor ‘makanan yang sempurna’.

Bagi aku, Selera Azrorasa, berbaloi untuk dijelajahi.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll Up
error: Content is protected !!