LOADING

Type to search

Insider BP

Semangat Sepiling Modal Aku Tawan Banjaran Himalaya!

backpackerz April 6, 2018
Share

Everest! Gunung yang Gah di banjaran Himalaya, mempunyai ketinggian 8848m merupakan impian pendaki dari seluruh pelusuk dunia. Ekspedisi Gunung Everest boleh dilakukan melalui Kathmandu di Nepal atau Tibet di China. Pendaki yang ingin ke sini perlu mempunyai ketahanan mental yang kuat, latihan yang cukup dan peralatan yang sesuai dengan keadaan geografi Gunung Everest.

EVEREST BASE CAMP – 5564m

Pada 28 April 2016 sehingga 15 Mei 2016 yang lalu aku telah mengikuti Ekspedisi Everest Base Camp anjuran Majlis Rekreasi Malaysia. Keanggotaan seramai 6 orang iaitu 4 orang lelaki dan 2 orang perempuan. Penerbangan Air Asia menjadi pilihan kami kerana harga tiket yang berbaloi dan selesa untuk ke sana.

HARI PERTAMA – HARI KETIGA (28/04/2016-30/04/2016)

Kami berlepas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) pada jam 5.30 petang dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Tribhuvan pada jam 9.57 malam waktu Nepal (11.15 malam waktu Malaysia). Keadaan Lapangan Terbang disana boleh dikatakan 40 tahun jauh kebelakang berbanding Negara kita, *Tip! Jangan berebut troli dengan orang disana kerana mereka tidak akan mengalah dan jaga beg anda sebelum orang lain ambil.

Kami terus ke Blue Diamond Hotel yang terletak di Thamel Street. Terdapat banyak pilihan hotel dan homestay di sekitar thamel dan pelbagai kedai jualan barang outdoor serta makanan disini. Bagi yang beragama Islam, jangan risau kerana terdapat beberapa kedai makanan yang terkenal di sekitar Thamel iaitu Anatolia dan Madina Halal food Restaurant.

Blackout! Keadaan itu normal apabila anda berada di Kathmandu kerana sistem elektrik yang tidak teratur dan serabut. Disinilah anda berpeluang untuk berjumpa dengan pelbagai manusia daripada seluruh dunia berkumpul untuk membeli belah di Thamel Streets sebelum meneruskan Pendakian ke Everest atau Base Camp.

Kami memperuntukkan tiga hari disini untuk membeli peralatan pendakian yang sesuai dengan Everest Base Camp. Pelbagai jenama outdoor yang terdapat disini antaranya Millet, The North Face, Karrimor dan BlackDiamond. Jika inginkan kelainan anda boleh membeli barangan yang hanya dijual di Kathamndu atau boleh dikategorikan “rare” jika anda pakai di Malaysia iaitu Salewa, Sherpa, Lowa, dan Black Yak.

HARI KEEMPAT (01/05/2016)

Pendakian kami bermula disini apabila pada jam 5.00 pagi kami bergerak ke Lapangan terbang Domestik Tribhuvan untuk menaiki pesawat ringan ke Lukla. Terdapat pelbagai pilihan pesawat untuk ke lukla antaranya Sita Air, Simrik Air dan lain-lain. Walaupun kami akan berlepas pada jam 8.15 pagi tetapi kami perlu sampai awal untuk menguruskan bag dan dokumen-dokumen lain. INGAT! Hanya 10kg sahaja berat beg yang dibenarkan untuk setiap seorang.

Walaupun pesawat ringan yang hanya memuatkan lebih kurang 15-19 orang, namun masih mempunyai seorang Pramugari untuk melayan kami. Kami dibekalkan dengan gula-gula dan kapas untuk menutup telinga. Selepas disajikan dengan pemandangan indah diluar pesawat akhirnya pada jam 9.30 pagi kami tiba di Lapangan Terbang Tenzing Hillary Lukla. Pengalaman mendarat di sini ternyata mengujakan kerana Lapangan terbang disini merupakan Lapangan Terbang Paling Berbahaya Di Dunia! Hanya beberapa orang juruterbang sahaja yang dapat “take off” dan “landing” disini.

Disini kami berjumpa dengan guide kami iaitu Raj dan tiga orang porter yang ditugaskan mengiringi dan menjaga kami sepanjang pendakian ini. Kesan gempa bumi masih lagi kelihatan di sini. Tanpa membuang masa kami terus memulakan pendakian dan menuju ke Phakding (2652m).

Permulaan pendakian, kami melalui beberapa buah kampung dan tahap kesukaran masih lagi rendah. Ternyata pemandangan yang sungguh cantik disini dan orang kampung yang peramah dan mesra.

Pada jam 1.00 petang kami tiba di Snowland lodge Phakding (2652m). kami mengisi perut dengan memakan Nasi Goreng Sayur dan berehat. Cuaca sepanjang pendakian pada hari pertama baik dan suhu diantara 25-21c . Tepat jam 8.00 malam kami semua tidur bagi meneruskan pendakian pada keesoknya.

HARI KELIMA (02/05/2016)

Aktiviti pagi dimulakan dengan salah seorang daripada kami dilantik untuk menjadi staf perubatan. Setiap pagi dan malam kami akan memeriksa tahap oksigen dalam badan, tekanan darah dan kadar denyupan jantung. Perkara ini sangat serius kerana ia menunjukkan tahap fizikal dan ketahanan pendaki sama ada untuk meneruskan pendakian atau terpaksa membatalkan pendakian. 

Hari kedua pendakian agak mencabar apabila kami akan ke Namchee Bazaar (3600m). 8 jam diperuntukkan untuk sampai kesana dengan trek yang agak mencabar. Pada jam 7.30 pagi kami bergerak dari Phakding (2652m) dan singgah di Jorsalle pada jam 11.00 pagi untuk makan tengahari. Jelas kelihatan budaya disini apabila guide tidak akan makan selagi kita tidak makan dan mereka akan berasa hati jika kita gagal untuk menghabiskan makanan yang dipesan. Kuantiti makanan disini sangat banyak , anda perlu memesan separuh atau berkongsi makanan sesuai dengan tahap kelaparan dan selera anda.

Sejam diperuntukkan untuk makan tengahari dan kami meneruskan perjalanan ke Namchee(3600m). Alhamdulillah pada jam 4.40 petang kami tiba di Green Tara Resort Namchee Bazaar. Tiupan angin yang kuat menyambut kedatangan kami disana. Mengapa terdapat perkataan bazaar di belakang namchee? Ini kerana terdapat banyak kedai jualan disini seperti bazar di Cameron Highlands. Harganya sedikit mahal jika dibandingkan di Kathmandu.

Mandi? Impian semata-mata kerana disini airnya sangat sejuk dan jika anda tetap ingin mandi anda terpaksa membayar rs 500 untuk air panas. Tip untuk membersihkan badan sepanjang pendakian adalah dengan menggunakan tisu basah. Kami berehat dan menikmati makan malam di lodge sebelum melelapkan mata pada jam 8.00 malam.

HARI KEENAM (03/05/2016)

Pagi ini kami akan membuat sesi acclimatize di Namchee bagi membiasakan badan dengan suhu dan altitud sebegini. Selepas minum pagi kami bersiap untuk ke Sagarmatha National Park untuk sesi acclimatize. Cuaca pada hari ini sungguh baik dan kami dapat menyaksikan sendiri panaroma Gunung Everest dan gunung-gunung lain di sekitarnya seperti Gunung Ama dablam, Thamsarku, Khantega, dan Lotse di depan mata kami.

Selepas puas bergambar kami pulang semula ke lodge untuk berehat dan menyiapkan badan untuk pendakian pada keesokannya.

HARI KETUJUH (04/05/2016)

Pendakian diteruskan ke Deboche (3770m) pada jam 7.00 pagi. Kami berhenti rehat di Phunkintinga pada jam 11.58 pagi untuk makan tengahari. Disini keadaan angin sangat kuat dan ada diantara pendaki yang sudah hilang selera makan. Trek dari Phukintinga ke Deboche sangat memenatkan dan memerlukan teknik pendakian yang betul. Pacak! Bak kata guide kami trek tersebut mati-mati dalam bahasa nepali (dalam bahasa Malaysia trek tersebut pacak/tinggi/menaik).

Setelah melayan trek tersebut, Alhamdulillah pada jam 4.30 petang kami sampai di Deboche. keadaan cuaca disini berubah apabila jam 5.30 petang dengan kabus mula menutupi dan salji mulai turun. Kami bernasib baik sampai terlebih awal, jika tidak pasti pendakian lebih sukar kerana kesejukkan.

Kami merehatkan badan sambil meminum lemon panas yang menjadi air wajib apabila tiba di setiap lodge serta memanaskan badan di heater yang dipasang di tengah lodge. Pendakian esok lebih mencabar kerana semakin tinggi kami mendaki samakin kurang oksigen dan sejuk kawasan tersebut. Tepat jam 8.00 malam semua melelapkan mata sambil berbungkus didalam “sleeping beg”.

HARI KELAPAN (05/05/2016)

Pendakian hari ini diteruskan dari Deboche (3770m) ke Dingboche (4400m). Pendakian amat mencabar pada hari ini dan tanda-tanda AMS sudah mula kelihatan pada beberapa orang peserta. Kami bergerak pada jam 7.15 pagi dan singgah di Pangboche pada jam 9.15 pagi. Kami berhenti untuk makan tengahari di Somere pada jam 11.12 pagi di kedai Annarpurna FastFood. Akhirnya kami sampai di Dingboche (4400m) pada jam 3.20 petang. Keadaan aku sangat lemah dan mula loya dan hilang selera makan. Semua pendaki rehat dan tidur pada jam 8.00 malam

HARI KESEMBILAN (06/05/2016)

Accute Mountain Sickness(AMS) mula menunjukkan belang apabila menyerang aku dan beberapa peserta lain. Tandanya adalah kepala terasa sangat berdenyut dan loya. Jika fizikal badan aku tidak berjaya melawan penyakit ini aku terpaksa membatalkan pendakian dan turun ke *Lowest point kerana itu sahaja cara bagi mengubatinya. Rezeki aku apabila selesai sesi accalimatize badan aku berjaya recover! Esok akan meneruskan pendakian.

HARI KESEPULUH (07/05/2016)

Tiada tumbuhan selepas ini! Bermaksud pendakian pada hari ini kian mencabar kerana kurang Oksigen dan keadaan angin yang semakin kuat. Misi pada hari ini adalah Lobuche (4952m). memulakan pendakian pada jam 7.15 pagi dan singgah di Thukla (4620m) pada jam 10.42 pagi untuk makan tengahari. Biskut sahaja yang mampu ditelan untuk mengisi perut dan terus menuju ke Lobuche.

Perjalanan selepas makan tengahari iaitu Thukla ke Lobuche adalah pendakian MAUT kerana ramai pendaki Malaysia dan luar negara terkandas disitu sama ada terkena kritikal Ams atau Hape serta Hace. Teknik pernafasan dan slow pace amat berguna pada pendakian ini, jika tersilap langkah maut menanti anda.

Jam 2.10 petang kami tiba di Lobuche (4952m) diiringi dengan Salji dan angin kuat. Kami menetap di Sherpa Lodge, Maggi menjadi makanan pilihan semasa tiba disana kerana cuaca sejuk dan kami berehat untuk misi seterusnya iaitu EVEREST BASE CAMP pada keesokanya.

HARI KESEBELAS (08/05/2016)

Persiapan terakhir kami lakukan sebelum bergerak ke GorakShep (5120m) pada pagi ini sebelum terus menuju ke Everest BaseCamp (5364m). memulakan pendakian pada jam 06.40 pagi dan tiba di GorakShep pada jam 11.00 pagi. Kami berehat seketika sebelum menuju ke EverestBaseCamp pada jam 12.00 tengahari dan AKHIRNYA tiba di EVEREST BASE CAMP tepat jam 03.00 Petang. Alhamdulillah kesemua peserta berjaya mengharungi penat lelah dan tiba disini. Pemandangan yang sangat indah dan pengalaman bermain ais yang tidak mungkin aku lupakan!

HARI KEDUA BELAS – HARI KEEMPAT BELAS ( 09/05/2016- 11/05/2016)

Kami mengambil masa tiga hari untuk turun semula ke Lukla dan menaiki pesawat ke Kathamndu. Kami hanya bermalam di Periche,Namchee dan Lukla. Semua pendaki dalam keadaan baik!

HARI KELIMA BELAS- HARI KELAPAN BELAS ( 12/05/2016 –15/05/2016)

Setibanya di Kathmandu kami menetap semula di Blue Diamond Hotel dan menghabiskan masa untuk berjalan di sekitar Kathmandu sambil membeli belah untuk keluarga di Malaysia. Terdapat banyak muzium, temple dan tempat bersejarah yang boleh dilawati. Jika sempat anda boleh melawat Pokhara yang mengambil masa 8 jam jika menaiki Bas dan sejam jika menaiki pesawat. Pemandangan di Pokhara menjanjikan panaroma yang sangat indah.

Everest Base Camp adalah Gunung bertaraf “Hardcore”. Latihan mental dan fizikal yang cukup perlu sebelum anda ingin ke sini. Tiada Kejayaan Tanpa Usaha dan Tiada kesenangan tanpa Kepahitan. Selamat Mendaki dan meneroka Banjaran Himalaya!

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll Up
error: Content is protected !!